SYECH HASAN
MAKSUM MUFTI KERAJAAN DELI
DALAM
empat siri berturut-turut, ruangan ini menceritakan tentang ulama yang berasal
dari Minangkabau. Dalam terbitan ini, kita akan memperkatakan mengenai ulama
yang berasal dari kerajaan Melayu Deli. Pada masa dulu, sebelum Indonesia moden
wujud, Deli adalah sebuah kerajaan Melayu. Bahasa dan budayanya sama dengan
kerajaan-kerajaan Melayu di sekitarnya. Deli sangat erat hubungan
kekeluargaannya dengan kerajaan Riau-Lingga, kerajaan Johor, kerajaan Selangor
dan lain-lain. Dari Deli juga banyak lahir cerdik pandai termasuk ulama.
Yang diriwayatkan ini adalah seorang tokoh dan ulama besar yang dilahirkan di
Deli, Sumatera Utara. Seluruh lapisan masyarakat Sumatera Utara khususnya dan
kerajaan-kerajaan Melayu di Nusantara umumnya cukup mengenali nama beliau.
Nama lengkapnya ialah Al-Fadhil Al-Alim Syeikh Hasanuddin bin Muhammad Ma’shum
bin Abi Bakar ad-Dali (Deli). Nama yang popular ialah Syeikh Hasan Ma’shum
saja. Beliau lahir di Labuhan Deli, Sumatera Utara pada tahun 1300H/1882M dan
wafat di Medan pada 24 Syawal 1355H/7 Januari 1937. Daripada ayah dan datuk
Syeikh Hasan hingga beberapa lapis ke atas semuanya adalah ulama. Mereka
berasal dari Aceh sebelum berpindah ke Deli.
Artikel ini masih ada hubung kait dengan artikel yang lalu kerana ulama yang
berasal dari Deli ini adalah tokoh ulama Kaum Tua yang membantah keras pendapat
sahabatnya, Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah (tokoh Kaum Muda). Polemik bertulis
antara mereka berdua melibatkan guru kedua-duanya, Syeikh Ahmad Khatib
Minangkabau, yang memihak kepada Syeikh Hasan Ma’shum.
Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dengan tegas menulis bahawa Ibnu Taimiyah, Ibnu
Qaiyim dan Wahabiyah yang diikuti oleh anak murid beliau, Syeikh Abdul Karim
Amrullah, adalah sesat. Menurut Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, golongan
tersebut sesat kerana keluar daripada fahaman Ahli Sunah Wal Jamaah dan
menyalahi pegangan mazhab yang empat. Sungguh berat bagi saya untuk
mengungkapkan medan perbalahan tersebut, tetapi setelah saya renung dengan
cermat kerana telah ramai orang yang membicarakannya, maka berat-berat pun
ditulis juga. Anggap saja tulisan ini merupakan bahan kajian ilmiah. Tidak
perlu kita menyalahkan pihak mana pun tanpa ilmu yang padu dan memadai.
Ayah beliau, Syeikh Muhammad Ma’shum bin Abi Bakar, adalah seorang ulama besar.
Oleh itu Hasanuddin mendapat pendidikan secara langsung daripada ayahnya.
Setelah berumur 10 tahun, ayahnya menghantarnya belajar ke Mekah. Guru-gurunya
ialah Syeikh Abdus Salam Kampar, Syeikh Ahmad Khaiyath dan Syeikh Ahmad Khatib
Minangkabau. Hasan Ma’shum sempat belajar daripada Syeikh Ahmad al-Fathani
sekitar tiga tahun, mulai tahun 1320H/1902 hingga awal tahun 1325H/1907.
Setelah pulang dari Mekah, beliau dilantik sebagai Mufti kerajaan Deli oleh
Sultan Ma’mun ar-Rasyid, Sultan Deli ketika itu.
Polemik
Dalam karyanya yang berjudul al-Quthufat as-Saniyah fi Raddi Ba’dhi Kalam
al-Fawaid al-‘Aliyah, beliau menyebut bahawa pada akhir bulan Syaaban 1332
H/Jun 1914 beliau menerima risalah berjudul al-Fawaid al-‘Aliyah fi Ikhtilaf
al-‘Ulama’ fi Hukmi fi talaffuzh an-Niyah. Yang dimaksudkan dengan risalah
judul ini ialah karya Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah (ayah Prof. Dr. Hamka),
iaitu sebuah risalah yang membantah talaffuzh an-niyah atau melafazkan niat,
yang kemudian terkenal dengan istilah mengucap ‘Usalli’ sewaktu mula-mula
memasuki sembahyang. Syeikh Hasan Ma’shum menulis, “Maka hamba dapati sungguh
betul muallif (pengarang, pen:) risalah itu, ia menyatakan akan khilaf ulama
pada masalah itu daripada hukum-hukum syarak. Tetapi pada faham hamba daripada
perkataan muallif di beberapa tempat, bahawa adalah ia menguatkan orang yang
mengatakan melafaz dengan yang diniatkan itu bidaah yang diketengahkan. Dan ia
menolak akan orang yang mengatakan sunat atau wajib. Nampaknya bukan hanya
sekadar demikian, bahkan tuduhan lebih berat dan hebat daripada yang tersebut
itu, sebagaimana dinyatakan pada sambungan kalimat di atas. Katanya, “Hingga
dibangsakannya pula akan perbuatan itu kepada Mazhab asy-Syaithan.” (Lihat
al-Quthufat, hal. 2.)
Oleh sebab Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah terpengaruh dengan Ibnu Taimiyah dan
Ibnu al-Qaiyim, maka Syeikh Hasan Ma’shum pada mukadimah mengemukakan bahawa
kedua-dua ulama itu telah dibantah oleh Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau.
Risalah ulama Minangkabau yang menolak Ibnu Taimiyah, Ibnu al-Qaiyim dan
orang-orang yang sealiran dengannya diberi judul al-Khiththah al-Mardhiyah fi
Raddi fi Syubhati man qala Bid’ah at-Talaffuzh bian-Niyah.
Menurut Syeikh Hasan Ma’shum, karangan Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau adalah
lebih dulu daripada karangan muridnya, Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah.
Kontroversi pegangan dalam karangan antara guru (Syeikh Ahmad) dengan muridnya
sendiri (Dr. Syeikh Abdul Karim) menjadi perdebatan. Syeikh Hasan Ma’shum yang
juga murid Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau tentu saja rasa tercabar. Pada satu
pihak beliau membela gurunya, pada pihak yang lain beliau terpaksa membantah
pendapat sahabatnya sendiri.
Pertikaian pendapat kedua-dua tokoh tersebut ditanggapi oleh Syeikh Ahmad
Khatib Minangkabau. Tanggapan beliau ada dilampirkan dalam al-Quthufat
as-Saniyah. Antara petikan kalimat beliau, “Maka saya telah melihat akan
risalah anak saya pada ilmu, al-Haji Hasan Ma’shum ad-Dali yang berjudul
al-Quthufat as-Saniyah dan al-Fawaid al-‘Aliyah yang telah mengarang akan dia
anak saya juga pada ilmu, iaitu Haji Abdul Karim asy-Syeikh Muhammad Amrullah.
Maka saya banding antara dua risalah itu. Maka saya lihat batal segala yang
pada Fawaid al-‘Aliyah daripada dalil-dalil yang dinyatakannya padanya dengan
yang dinyatakan pada al-Quthufat as-Saniyah.”
Membela
Daripada petikan ini dan kalimat-kalimat berikutnya sangat jelas bahawa Syeikh
Ahmad Khatib Minangkabau membela Syeikh Hasan Ma’shum. Tentang kandungan
al-Quthufat as-Saniyah, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menyatakan, “Dan pada
hal yang telah dinyatakannya itu, setengah daripada dalil-dalil yang teringat
pada faham saya, tetapi akan saya nyatakan sendiri demikian itu rupanya tiada
munasabah berlawan dengan anak.’’
Yang dimaksudkan oleh Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau dengan ‘berlawan dengan
anak’ pada akhir kalimat ialah Syeikh Abdul Karim Amrullah. Dengan nada yang
agak marah Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau meluahkan rasa yang terpendam dalam
hatinya. Kata beliau, “Tetapi saya lihat akan dia telah melampaui makamnya dan
ia mendakwa akan dakwa yang mendustakan akan dia fahamnya dan taulannya kerana
ia telah menyalahkan segala ulama Mazhab Syafie yang besar-besar, yang ikutan
ulama-ulama Syafi’eyah seperti Nawawi, Rafie, Ibnu Hajar dan Ramli dan
lain-lain....”
Menyambung lanjut kalimat di atas, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menegaskan,
“Dan tiadalah engkau memperoleh pada alam al-Islami melainkan segala mereka itu
melafazkan dengan niat. Bersamaan daripada Syafi’eyah, Hanafiyah, Malikiyah,
atau Hanabilah. Maka Haji Abdul Karim hendak menyalahkan akan segala mereka itu
dengan sebab taklid kepada Ibnu al-Qaiyim.”
Selanjutnya Syeikh Ahmad Khatib menjelaskan, “Seolah-olahnya segala ulama yang
tersebut itu belum melihat akan perkataan Ibnu al-Qaiyim itu, dan Haji Abdul
Karim pada akhir zaman melihat akan dia. Dan sebab itu ia menyalahkan akan
segala mereka itu. Padahal mereka itu telah melihat akan dia dan tiadalah
mereka itu memakai akan cakapnya kerana menyalahi ijtihad mereka itu akan
ijtihadnya.” (Lihat al-Quthufat, hlm. 27.)
Pada bahagian akhir suratnya, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau mengatakan, “Maka
betapakah akan batal dengan fikiran orang yang muqallid yang semata-mata dengan
faham yang salah dengan taqlid kepada Ibnu al-Qaiyim yang tiada terpakai qaulnya
pada Mazhab Syafie.”
Ketika menutup suratnya, Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau menasihatkan, “Maka
wajiblah atas orang yang hendak selamat pada agamanya bahawa ia berpegang
dengan segala hukum yang telah tetap pada mazhab kita. Dan janganlah ia membenarkan
akan yang menyalahi demikian itu daripada fatwa yang palsu.”
Kata penutup beliau, “Dan Haji Hasan Ma'shum telah menyatakan pada risalah ini
akan tempat-tempat kesalahan Haji Abdul Karim pada risalahnya itu. Dan nyatalah
kesalahan bagi orang yang ada berfaham pada ilmu yang membezakan yang sah dan
yang batal.”
Penulisan
Menurut riwayat, Syeikh Hasan Ma’shum banyak menghasilkan penulisan, tetapi
karyanya yang ada dalam koleksi saya hanya 1 buah. Karya yang pertama ialah
al-Quthufat as-Saniyah yang telah dibicarakan di atas. Risalah ini dicetak
pertama kali oleh Al-Mathba’ah Al-Miriyah Al-Kainah, Mekah pada 1333 H. Selain
mendapat pujian daripada Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau, risalah itu juga
dipuji oleh gurunya, Syeikh Abdul Qadir Shabir al-Mandaili.
Karya Syeikh Hasan Ma’shum yang kedua ialah risalah yang diberi judul Beberapa
Masail, cetakan yang kedua oleh Mathba’ah Al-Ahmadiah, 82, Jalan Sultan
Singapura, pada 16 Muharram 1348 H/24 Jun 1929. Kandungannya menangkis 19
perkara yang dilemparkan oleh Kaum Muda yang dianggap bidaah oleh mereka.
Ringkasan 19 perkara yang dimaksudkan ialah:
1. Tentang Usalli
2. Membaca talkin
3. Mengaji di kubur
4. Berdiri ketika marhaban
5. Mempercayai ulama
6. Lafaz Saidina dalam selawat
7. Qada sembahyang
8. Mengangkat tangan ketika qunut
9. Ziarah makam Nabi s.a.w.
10. Membaca al-Quran untuk orang mati
11. Fidyah sembahyang
12. Ziarah kubur
Tidak ada komentar:
Posting Komentar